top of page

Sains Pseudo (Pseudoscience) suatu ancaman?

Ledakan maklumat dan informasi, pasca Revolusi Perindustrian 4.0 mendedahkan manusia kepada satu lagi bahaya yang sedang bergerak tanpa kita sedar. Kesalahan maklumat dalam pelbagai konteks membawa bahayanya tersendiri terhadap komuniti. Kebebasan internet menjadikan maklumat palsu dan salah mudah untuk tersebar ke seluruh pelusuk dunia. Maklumat yang salah ini boleh hadir dalam pelbagai bentuk misalnya sebagai fitnah, khabar angin dan maklumat palsu terhadap deretan isu daripada politik sehingga sosial. Pun begitu, Sains dan Teknologi tidak terkecuali dalam menerima impak daripada kesalahan maklumat. Kewujudan gerakan saintis pseudo yang menentang gerakan saintis sebenar dalam bidang sains seolah-olah menjadi ancaman kepada hasrat untuk membentuk sebuah masyarakat yang saintifik dan maju. Oleh sebab itulah, lahir cadangan daripada para pemikir tentang keperluan setiap negara dalam menghapuskan gerakan sains pseudo ini. Maka, apakah kebenaran di sebalik tohmahan yang dikenakan kepada sains pseudo ini dan adakah tindakan mengharamkannya ialah jawapan bagi semua masalah yang timbul akibat sains pseudo?


(UFO juga merupakan salah satu perkara yang dikategorikan sebagai sains pseudo)


Sebelum itu, lebih baik jika kita mengetahui terlebih dahulu apakah erti Sains Pseudo? Sains Pseudo merupakan suatu bidang ilmu yang bercanggah daripada pengetahuan sains yang diterima umum atau yang tidak mempunyai bukti saintifik sebagai bukti akan kebenarannya. Sains pseudo merangkumi pelbagai aspek di dalam sains tulen, sains gunaan dan sains sosial. Contohnya, sains pseudo yang terdapat di dalam sains tulen adalah seperti berkaitan dengan konotasi negatif terhadap vaksin(anti-vaxxers) , Astrologi (kepercayaan bahawa zodiak mempengaruhi hidup manusia) dan Flat earth (kepercayaan bahawa bumi berbentuk leper) . Dalam sains gunaan pula antara isu sains pseudo yang terkenal adalah seperti Brain Gym(latihan bagi menguatkan koordinasi otak dan anggota badan), Feng Shui (penggunaan ternaga untuk mengharmonikan alam) dan Akupuntur (Rawatan tradisional cina yang berasaskan jarum). Manakala pengaruh sains pseudo dalam sains sosial dapat dilihat dalam Teori brainwashing (minda dapat dikawal melalui medium tertentu), Graphology (tulisan mempengaruhi sifat manusia) dan Polygraph (teknik pengesanan penipuan). Disebabkan oleh perkembangan teknologi yang semakin pesat, kepercayaan dan kefahaman manusia terhadap sains pseudo semakin meningkat. Ini adalah kerana sifat sains pseudo yang mudah diterima masyarakat dan menceritakan asas logik mudah yang senang untuk mempengaruhi manusia. Dek sifat inilah, pengaruh sains pseudo mula menampakkan kesan yang signifikan terhadap masyarakat. Semakin hari semakin jelas kesannya dan ancaman yang dibawanya terhadap bukan sahaja sains malah terhadap manusia sejagat. Maka, apakah asas bagi kita untuk menolak kewujudan gerakan sains pseudo ini?


Secara mudahnya, asas bagi menilai keperluan bagi menolak gerakan sains pseudo ialah:


1 . Sains Pseudo mewujudkan suatu tanggapan yang berbahaya kepada masyarakat


Seperti sedia maklum kebanyakkan ilmu dan bidang dalam sains pseudo hadir sebagai alternatif kepada sains. Misalnya, jika dalam bidang perubatan terdapat ramuan homeopati, rawatan ayuverda, rawatan tradisional dan akupuntur yang dianggap sebagai alternatif terhadap perubatan moden. Pun begitu bukan semua pihak mudah untuk memahami erti alternatif tersebut atas pelbagai sebab yang mendesak. Misalnya, faktor kos rawatan perubatan moden yang tinggillah menyebabkan perubatan alternatif ini tidak dianggap alternatif kepada masyarakat. Malah, terdapat pengamal perubatan yang mengambil kesempatan menyampaikan maklumat bersifat 'overclaim' bagi meraih keuntungan. Namun, tanpa asas sains pelbagai kesan sampingan yang tidak dapat dijangka boleh berlaku akibat pengambilan rawatan alternatif ini.


Misalnya, menurut Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah perubatan-perubatan ini akan menyebabkan pelbagai kesan sampingan yang mungkin tidak disedari akan bahayanya oleh pengguna. Malah kini sudah terdapat beberapa kes membabitkan perubatan tradisional seperti homeopati. Misalnya menurut Pakar Perunding Perubatan & Nefrologi, Dr Rafidah Abdullah pada 2017 seorang pesakit kencing manis di Temerloh telah memilih untuk menghentikan pengambilan ubat saranan doktor kerana ingin bertukar kepada rawatan homeopati yang lebih dipercayainya. Kesannya, mangsa menerima komplikasi seperti kandungan gula dan kadar tekanan darah yang meningkat mendadak serta fungsi buah pinggang yang terjejas. Malah menurutnya juga terdapat kes penggunaan homeopati yang kononnya dapat merawat keracunan Paraquat. Namun kesannya, pesakit berusia 60 tahun itu terpaksa dikejarkan semula ke hospital akibat komplikasi terhadap organ dalamannya.


Tidak cukup dengan itu, terdapat juga sains pseudo yang menggugat kesihatan dan keselamatan sejagat. Misalnya dakwaan golongan anti-vaxxers dan pro-herba yang ternyata palsu dan bertentangan dengan sains. Akibatnya, golongan anti-vaxxers inilah yang mengakibatkan terbuka ruang kepada jangkitan pelbagai penyakit berjangkit yang selama ini sudah dapat dibendung. Kebenaran ini tidak dapat disangkal lagi selepas beberapa siri wabak dan penularan penyakit seperti wabak difteria (penyakit sudah dapat dibendung melalui vaksin) yang pernah melanda negara mac tahun lalu dan kes polio pertama malaysia selepas kali terakhir pada tahun 1992 yang mengejutkan negara akhir tahun lalu. Manakala, terdapat segelintir pro-herba yang melaksanakaan dakwaan bersifat 'overclaim' terhadap khasiat sesetengah herba sehingga memperdayakan masyarakat. Seperti rawatan kecing manis dan pelbagai penyakit kronik. Lebih mengejutkan terdapat dakwaan yang mengatakan terdapat herba yang dapat merawat COVID-19. Rangkumannya semua ini jelas membawa bahaya kepada masyarakat akibat tanggapan dan fahaman yang salah oleh masyarakat.

(dunia digemparkan dengan fakta kononya bawang putih mampu melindungi diri daripada covid-19)


2. Sains Pseudo mewujudkan manusia yang jumud dan tidak saintifik


Kebanyakkan sains pseudo bersifat logik mudah yang senang dihadam kebanyakkan masyarakat. Oleh sebab itulah, wujud gerakan manusia yang sanggup mempercayai bidang ilmu yang tidak mempunyai asas sains yang tepat dan benar. Ditambah pula dengan bukti-bukti yang nampak meyakinkan. Perkara-perkara sebeginilah membenamkan asas kukuh tentang kesahihan sains pseudo dalam masyarakat sehingga terdapat segelintir masyarakat sanggup mengetepikan sains yang membawa kebenaran. Akibatnya, lahir masyarakat yang tidak saintifik. Hal ini jelas apabila, sains pseudo membentuk sebuah masyarakat yang tidak mempercayai sains sebagai teras kepada pembuktian yang benar terhadap alam. Kesannya, sains yang mampu memajukan bangsa manusia tidak dapat diangkat dalam kalangan masyarakat.


Buktinya, kepercayaan yang tinggi kepada teori yang kononya pendaratan di bulan hanya sebuah hoax menyebabkan masyarakat sanggup mengetepikan fakta realiti akan kajian yang telah dibuat sepanjang pendaratan di bulan dan penemuan-penemuan baharu sepanjang program tersebut. Malah, kepercayaan ini memupuk mesej moral akan sebenarnya manusia tidak pernah mampu ke bulan atau alam semesta dan kajian dalam program ini bersifat sia-sia.

(Menurut kajian yang dilakukan Statista Research Department 2019, 61 % responden sangat tidak mempercayai bahawa manusia pernah menjejakkan kaki ke bulan)


Sains pseudo juga menyebabkan masyarakat menjadi jumud - kolot atau ketinggalan zaman. Hal ini kerana sains itu sendiri bersifat dinamik dan sentiasa berkembang. Namun pemikiran tentang sains pseudo menyebabkan pemikiran manusia tertutup kepada kepercayaan karut yang sukar dibuktikan, kekal dan tidak berkembang. Pemikiran manusia menjadi ruangan yang tidak berkembang kerana berpegang teguh dengan imaginasi tidak realistik untuk mencari pembuktian. Misalnya, meskipun terdapat pelbagai bukti saintifik yang diterima sejagat tentang bentuk sebenar bumi, namun golongan flat-earth ini masih tetap mempercayai bahawa bumi itu bersifat leper. Hal ini kerana mereka taksub dengan pembuktian-pembuktian lama yang sudah dibuktikan salah. Pemikiran jumud ini terhasil akibat ketaksuban dan kepercayaan yang kuat terhadap sesuatu prinsip atau bukti itu sehingga sanggup mengetepikan kebenaran. Lebih ditakuti semakin ditentang semakin banyak alasan tidak munasabah mereka bagi mengiyakan kepercayaan mereka. Inilah ancaman sebenar terhadap sains kerana di masa akan datang tentunya pelbagai lagi penemuan baharu akan ditemui dalam penyelidikan saintifik. Namun kewujudan golongan ini meracuni minda masyarakat untuk menerima penemuan-penemuan ini. Misalnya, penemuan baharu dalam perubatan pastinya tidak berkesan jika terdapat golongan yang taksub kepada perubatan tradisional yang tidak dapat dibuktikan seratus peratus. Inilah keadaan jumud yang hakiki dan perlu dibuang daripada masyarakat agar masyarakat dapat terus maju selari dengan arus kemajuan sains dan teknologi. Maka, menolak sains pseudo tentunya adalah jawapan yang terbaik.


(model bumi yang leper dakwaan flat-earther)


Pun begitu dalam kebencian terhadap sains pseudo ini, penting untuk kita menilai semula sumbangan dan hak sains pseudo ini dalam masyarakat. Sains pseudo seperti bidang ilmu yang lain berhak dilihat sebagai bidang ilmu yang sah meskipun bukti yang membezakan mereka dengan berita palsu terlihat samar namun kewujudannya sebagai bidang ilmu tidak seharusnya diragukan. Atas sebab hak dan sumbangannya terhadap manusia, kewajaran untuk mengharamkannya harus dikaji semula. Ini adalah atas justifikasi seperti:


1 . Hak Kebebasan berfikir dan memberi pandangan


Tidak dinafikan setiap manusia mempunyai hak untuk berfikir dan memberi pendapat tentang sesuatu isu itu. Perkara ini juga terguna pakai kepada sains pseudo. Keinginan manusia untuk percaya kepada sains pseudo tidak harus ditegah. Hal ini kerana sains pseudo membawa manfaat tersendiri kepada masyarakat. Misalnya, sains pseudo menyediakan suatu landasan kepada para peminat dan pengkaji untuk membuat rumusan berbeza dengan sains atau rumusan yang tidak dapat dijumpai dengan sains. Misalnya, pengkajian tentang Unknown Flying Object (UFO) dan Ancient Astronomy menjadi platform kepada para peminatnya untuk mencari kebenaran berdasarkan bukti-bukti visual dan abstrak yang mungkin tidak dapat dibuktikan dengan sains. Pengkajian Paranormal yang sehingga ini mendatangkan alasan kurang menarik daripada sains menyebabkan manusia giat untuk mencari kebenaran sebenar tentang apa yang seolah-seolah disorokkan oleh sains. Ya, sains itu bersifat realistik kepada bukti yang sah sahaja tetapi kerana sifat ini jugalah manusia yang intuitif tidak mampu menerima penjelasan sains terhadap isu kontroversi seperti UFO, Paranormal dan banyak lagi. Maka tidak seharusnya kebebasan memberi padangan sebegini disenyapkan.


(mungkinkah pernah manusia terdahulu berinteraksi dengan makhluk asing?)


Keduanya, sains pseudo juga mewujudkan medium alternatif kepada masyarakat tentang sesuatu ilmu pengetahuan sains itu. Kebebasan dalam kehidupan seharusnya bermula daripada kebebasan manusia juga untuk membuat pilihan. Dan kebebasan ini tidak akan wujud jika manusia tidak diberi pilihan. Meskipun, bukti keberkesanan beberapa perkara di dalam sains pseudo seperti homeopati, akupuntur dan herba tradisional dilihat skeptikal namun kadang-kala bukti ini benar dan realiti cuma sains seperti biasa tidak mempunyai jawapan terhadapnya. Kebebasan ini seharusnya wujud kerana manusia tidak sepatutnya hanya terikat dengan satu pilihan sahaja terutamanya dalam bidang perubatan. Hal ini jelas dalam situasi seperti ada antara kelompok masyarakat yang tidak mampu untuk membiayai kos perubatan atau sudah hilang kepercayaan terhadap perubatan moden. Maka pilihan yang ada buat mereka ialah alternatif yang lebih rendah kosnya dan menjanjikan suatu sinar harapan. Namun dalam pada itu, perlu diingat akan erti alternatif itu sendiri. Penggunaan yang selamat dan memitigasikan risiko dengan cara sentiasa merujuk semula kepada badan yang berautoriti perlu diamalkan ketika menggunakan khidmat perubatan alternatif ini. Seperti biasa ada batasnya untuk mempercayai rawatan-rawatan alternatif kerana merka tidak terlepas daripada label sebagai sains pseudo. Perkara ini terguna pakai dalam setiap keadaan ketika berurusan dengan bidang sains pseudo ini. Masyarakat perlu sedar akan batasan dalam mempercayai sains pseudo ini. Ketaksuban dan keghairahan dalam meneroka bidang ini hanya akan membinasakan diri sendiri atau masyarakat. Begitu juga dengan sains, ada batasnya dalam mencari kebenaran dalam sains. Jika tidak ia pasti mengundang bahaya terhadap manusia atau masyarakat. Ketaksuban kepada sains sehingga melanggar etika saintifik semata-mata demi meneroka pengetahuan baharu juga mampu membahayakan masyarakat.

(disebalik cercaan terhadap mereka terdapat juga sains disebalik mereka)


2 . Sains yang bergantung kepada sains pseudo.


Jika diimbau secara sejarah sains, sains bermula daripada kepercayaan karut dalam masyarakat yang berasaskan logik semata-mata yang tenyata sejenis sains pseudo. Sebelum wujudnya bidang kimia, manusia di seluruh dunia gigih dalam menerokai bidang alkimia yang kononnya dapat menukarkan batu plumbum kepada logam-logam berharga seperti emas. Pelbagai tokoh terkenal seperti Albertus Magnus, Jabir Ibn Hayyan dan Michael Sendivogius telah melibatkan diri dalam bidang ini. Tidak dinafikan juga terdapat penemuan mereka yang masih relevan sehingga kini seperti penemuan oksigen, emas dan asid sulfurik. Daripada ini dapat dilihat bagaimana sains pseudo merupakan asas kepada lahirnya sains. Tanpa sains pseudo manusia tidak akan bersifat intuitif dan ingin tahu dalam pelbagai perkara. Sains pseudo ini lahir daripada sifat ingin tahu manusia terhadap sesuatu yang masih belum wujud buktinya atau diragui buktinya. Sumbangan sains pseudo inilah yang harus dihargai oleh semua cendekiawan sains moden hari ini. Hal ini kerana tanpa sains pseudo, sains yang kita faham kini sama sekali tidak akan wujud.

(Penerokaan Jabir Ibn Hayyan dalam bidang alkimia berjaya menemui asid sulfurik yang berguna sehingga hari ini)


Jika dilihat daripada perspektif dunia moden pula, sains pseudo membuka ruang kepada pelbagai penemuan-penemuan baharu. Hal ini kerana, sifat sains pseudo yang skeptikal ini menarik minat para saintis untuk mencari kebenaran mengikut kaedah-kaedah saintifik untuk mematahkan hujah tentang kepercayaan dan kaedah pengkajian mereka. Kesannya, kebenaran yang tidak diketahui selama ini berjaya dirungkai dan bahaya daripada sains pseudo ini dapat diketahui umum agar masyarakat menjadi lebih waspada terhadap sains pseudo. Misalnya, pengkajian tentang ilmu herba tradisional oleh para saintis menemukan pelbagai perkara baharu yang menjadi panduan kepada para legislator/ pembuat undang-undang untuk merangka undang-undang bagi menjaga keselamatan dan kesihatan masyarakat. Jika suara sains pseudo ini disenyapkan begitu sahaja, tentunya kebenaran tidak akan sesekali dirungkai dan kesan buruk sains pseudo akibat diamalkan oleh golongan yang tetap berdegil akan lebih agresif.


Kesimpulannya, masyarakat harus didedahkan dengan kebenaran berkaitan sains pseudo supaya masyarakat dapat bertindak dengan berwaspada terutamanya dalam memilih perkara untuk diterima pasca era globalisasi ini. Tidak salah untuk mempercayai sains pseudo namun masyarakat juga harus mengenali akan batasan dan risiko yang perlu ditanggung atas kepercayaan mereka. Ini penting agar keputusan yang rasional dapat dibuat dalam segala hal. Malah, sains pseudo juga tidak seharusnya disewenang-wenangnya disekat kerana ia menjanjikan pelbagai info menarik buat mereka yang menggemarinya. Meskipun sains pseudo ini tidak mempunyai kaedah pengkajian yang sah, namun hasil kajian mereka tidak seharusnya diketepikan begitu sahaja. Bukti-bukti mereka perlu dinilai sebaiknya oleh komuniti sains agar manfaat daripadanya dapat dimaksimumkan. Pemerintah pula perlu proaktif terhadap perihal sains pseudo yang membahayakan. Ada masanya sains pseudo perlu dikawal agar risiko kepada manusia sejagat dapat dielakkan. Undang-undang perlu wujud bagi mengelakkan masyarakat mudah untuk diracuni pemikiran sains pseudo yang bermasalah. Akhir kata, dalam isu sains dan manusia, manusia perlu bersatu dengan sains tanpa meninggalkan kepentingan peribadi (kebebasan membuat pilihan, kebebasan berfikir) demi kemajuan bangsa manusia.



(anda percaya UFO? kongsikan pandangan anda di ruangan komen)


Teruskan menyokong agenda pemerkasaan belia!

Terima kasih kerana menyokong kami


Sumber:

Kementerian Kesihatan Malaysia

Dr. Rafidah Abdullah

History Channel

Wikipedia

NY Times

Statista Research Department


191 views2 comments
bottom of page