top of page

Warkah kepada Menteri Kewangan bagi Menangani Kos Sara Hidup Rakyat


Gangguan rantaian bekalan dunia pasca covid-19 yang belum sepenuhnya pulih telah menyebabkan peningkatan konsisten kos bahan mentah. Tambahan pula, perang Ukraine-Rusia kini memburukkan lagi gangguan rantaian bekalan dunia tersebut akibat pemberhentian eksport penting kedua-dua negara dan sekatan ekonomi bersilang ganti antara kedua-dua paksi menyebabkan bekalan bahan mentah asas seperti bahan api dan bijirin semakin terhad. Sekali gus, mampu mencetuskan krisis makanan dunia dan telah membawa kepada inflasi di seluruh dunia.


Namun begitu, Kerajaan tidak terlepas daripada menjalankan tanggungjawab mereka untuk menjamin kesinambungan hidup rakyat. Ketika ini kerajaan seharusnya mengambil langkah untuk meningkatkan hasil kerajaan bagi menampung perbelanjaan mengurangkan beban rakyat sambil menjamin keselamatan makanan negara.



(kesan Perang Ukraine-Russia terhadap ekonomi dunia menurut International Monetary Fund)

Di sebalik peningkatan kos bahan mentah dan ketidak tentuan pasaran global ada pihak yang menangguk di air yang keruh. Meraih pendapatan yang lolos daripada kutipan cukai kerajaan. Oleh sebab itu, bagi menjamin keadilan kepada semua pihak yang terkesan akibat krisis ini, peningkatkan hasil kerajaan perlulah dilaksanakan segera melalui cukai yang lebih progresif. Dua langkah dapat boleh dipertimbangkan kerajaan seperti berikut :



1. Ketidak tentuan pasaran global memberi ruang bagi spekulator dan pedagang komoditi meraih keuntungan berlipat kali ganda. Berbeza dengan negara maju seperti United Kingdom dan Ireland, hasil ini tidak dicukaikan oleh kerajaan. Oleh itu, Capital Gain Tax terutamanya bagi keuntungan melebihi threshold tertentu harus diperkenalkan segera bagi mengutip cukai daripada pendapatan terlolos yang diperoleh oleh pelabur-pelabur ini.


2. Peningkatan kos bahan mentah telah memaksa taukeh-taukeh untuk mengalihkan beban peningkatan kos tersebut kepada pengguna, sementara mereka mengekalkan margin keuntungan. Kesannya rakyat terbeban akibat peningkatan harga barang sementara keuntungan mereka tidak terkesan meskipun berlaku peningkatan kos. Oleh itu, kadar cukai pendapatan yang lebih tinggi bagi keuntungan melepasi paras tertentu harus diperkenalkan agar keperitan peningkatan kos ini bukan dirasai oleh pengguna sahaja.


Tambahan lagi, tugas hakiki kerajaan adalah untuk membantu meringankan beban rakyat majoriti yang terkesan akibat inflasi. Justeru itu, peningkatan hasil kerajaan tadi penting bagi menampung peningkatan perbelanjaan bagi mengurangkan beban rakyat seperti berikut :


1. Bagi mengelakkan inflasi yang lebih buruk, subsidi bagi produk harian rakyat Malaysia harus dikekalkan. Ini penting bagi mengelakkan ripple effect kepada harga barang lain yang bakal menjejaskan hidup lebih ramai rakyat. Meskipun, subsidi seperti subsidi minyak masak merupakan langkah sementara semasa krisis covid-19 yang lalu, subsidi tersebut harus dikekalkan sehingga harga barang menjadi lebih stabil.


2. Meneruskan blanket subsidy bahan api adalah tidak mapan. Oleh sebab itu, kerajaan perlu segera melaksanakan subsidi petrol bersasar. Subsidi penuh hanya wajar diberikan kepada golongan B40. Manakala, hanya sebahagian subsidi wajar diberikan kepada industri dan M40. Manakala, harga petroleum perlu diapungkan kepada golongan T20.

Tekanan bekalan makanan dunia juga memerlukan kerajaan untuk bertindak menjamin keselamatan makanan negara yang berkait rapat dengan inflasi dihadapi negara sekarang. Oleh sebab itu, kerajaan haruslah :



1. Segera mencari alternatif kepada bahan mentah diimport negara. Ini penting bagi mengurangkan kebergantungan kepada bahan mentah import yang menjejaskan harga barang makanan tempatan. Dana ke arah penyelidikan bagi usaha tersebut perlu ditingkatkan segera. Misalnya bagi mencari alternatif kepada dedak ayam import yang memberi kesan kepada harga dan bekalan ayam negara.

2. Kerajaan juga perlu menyekat buat sementara waktu eksport minyak sawit untuk tujuan pembuatan produk hiliran bagi meningkatkan bekalan untuk kegunaan domestik. Ini penting bagi menjamin bekalan dan menstabilkan semula harga minyak masak. Meskipun, FGV meraih keuntungan berlipat kali ganda hasil permintaan untuk tujuan ini yang sedang melambung tinggi apabila Indonesia menyekat eksport minyak sawit. Namun keutamaan harus diberikan kepada rakyat berbanding konglomerat yang meraih keuntungan besar akibat krisis ini.

Kesimpulannya, kita amat memahami kerisauan kerajaan akan keputusan semasa dibuat akibat kekangan kewangan kerajaan yang semakin dihimpit tekanan defisit. Tindakan menghapus GST oleh kerajaan terdahulu telah menyebabkan kerajaan hari ini lack of tools bagi mencegah peningkatan kos sara hidup dan perlu menyeimbangkan keperluan untuk menambahkan perbelanjaan kerajaan bagi mengurangkan kos sara hidup dan keperluan memastikan hutang di paras yang boleh diuruskan. Oleh sebab itulah, penambahbaikan kepada dasar fiskal yang dicadangkan bakal menyediakan room for action untuk kerajaan bertindak lebih proaktif tanpa perlu bimbang tentang beban hutang negara yang semakin bertambah.


Aqmar Putra

Bahagian Strategik dan Kajian Dasar

Pergerakan UMNO Progresif

34 views0 comments
bottom of page