top of page

Pendidikan Seksual : Di Mana Malaysia ?



Pendidikan seksual sering kali menjadi tajuk taboo atau pantang larang untuk dibincangkan di Malaysia. Rata-rata isi rumah segan untuk membincangkan perkara-perkara sebegini kepada anak-anak mereka. Lebih teruk lagi sesetengah masyarakat mempunyai persepsi kolot terhadap Pendidikan Seksual kerana bagi sesetengah kelompok ini Pendidikan ini menghilangkan nilai moral melalui pengajaran seks selamat (safe sex) yang dianggap mercu kepada legalisasi seks bebas. Naratif ini ternyata punyai masalahnya tersendiri. Maka eloklah kita jernihkan dahulu apakah ertinya Pendidikan Seksual.


Pendidikan Seksual boleh didefinisikan sebagai suatu panduan kepada isu berkaitan seksualiti manusia merangkumi hubungkait emosi dan tanggungjawab, anatomi seksual manusia, aktiviti seksual, usia dewasa, kesihatan reproduktif, hak reproduktif, seks selamat, pencegahan kehamilan dan halangan seks. (Stanger-Hall, Kathrin F. ; Hall, David W. 2011).

Ini bermakna pendidikan ini bukan hanya mendidik seks selamat seperti yang ditakuti masyarakat namun turut juga mendidikan hak reproduktif (spt hak untuk mengatakan tidak, hak untuk melaporkan gangguan seksual) dan kesihatan reproduktif (spt Sexually Transmitted Infection) yang jarang sekali dibincangkan dalam masyarakat.



Di negara-negara maju seperti di Belgium dan Belanda, pendidikan ini sudah mula menjadi salah satu mata pelajaran khas . Manakala di Malaysia, Pendidikan Seksual telah mula disisipkan ke dalam sukatan pelajaran Pendidikan Kesihatan melalui Bahagian Pendidikan Kesihatan, Reproduktif dan Sosial (PEERS). Sebahagian kandungannya juga telah lama disisipkan dalam Pendidikan Moral dan Pendidikan Islam.




Pun begitu, menurut kenyataan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada tahun 2017, Malaysia masih memerlukan banyak lagi penambahbaikan dalam Pendidikan Seksual yang kita punyai sekarang. Menurutnya lagi perkembangan internet telah menyebabkan remaja masa kini lebih mudah terdedah dengan maklumat yang salah berkenaan seksualiti dan hanya mampu diperbetulkan melalui pendidikan yang lebih terbuka dan berpengetahuan "well-informed". Kenyataan ini sejurus selepas statistik dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan 61% daripada jumlah jenayah seksual berlaku melibatkan kanak-kanak.


Maka, artikel ini bakal membincangkan kepentingan dan cabarannya yang tersendiri bagi mengaplikasikan Pendidikan Seksual yang lebih komprehensif


Kepentingan yang pertama dapat dilihat apabila pendidikan ini dapat menyediakan suatu penyelesaian yang konklusif dan konsensus berkenaan isu-isu seksualiti yang sejagat. Di Malaysia, masih terdapat pelbagai isu-isu seksualiti yang gagal mencapai konsensus dalam masyarakat. Misalnya berkenaan perlindungan dan hak ke atas mangsa jenayah seksual. Soal menyalahkan mangsa (victim-blaming) masih lagi menjadi pandangan sekelompok masyarakat sedangkan perkara ini jelas dalam undang-undang bahawa perogol bertanggungjawab sepenuhnya atas kesalahannya sendiri. Ini berlaku akibat campur tangan pendidikan agama dalam isu seksualiti sehingga mempengaruhi kelompok ini untuk mempercayai bahawa mangsa itu sendiri punyai "shared responsibilities" dalam jenayah ke atas dirinya ~ suatu kepercayaan yang tiada asas dalam undang-undang. Seolah-olah menyalahkan pemilik kereta mewah yang dicuri kerana meletakkan kereta mewahnya di tempat parkir. Melalui pendidikan seksual yang lebih komprehensif ini, penyelesaian yang konsensus dan konklusif terhadap isu-isu seksualiti di Malaysia seperti tanggungjawab semua pihak ketika berlaku jenayah seksual dapat dipupuk dalam Masyarakat. Dengan cara ini masyarakat dapat lebih berfungsi dalam menangani masalah sebegini apabila setiap masyarakat mengetahui peranan masing-masing ketika berlaku masalah sebegini. Stigma masyarakat disebalik jenayah seksual dapat dikikis sekaligus membantu membentuk negara yang lebih selamat dan adil untuk semua gender.


(stigma masyarakat pada isu rogol sumber: https://www.sace.ca/learn/victim-blaming/ )


Pun begitu, cabaran utama dalam mengaplikasikan perkara sebegini dalam masyarakat ialah ketidak sediaan masyarakat dalam menerima dan membincangkan beberapa isu-isu sensitif berkenaan seksualiti. Misalnya, dalam isu rogol sebentar tadi segelintir masyarakat melayu Islam masih tidak dapat lari dengan stigma bahawa pakaian wanita juga memainkan peranan dalam kes rogol kerana bagi mereka agama Islam mendidik umatnya untuk berpakaian secara menutup aurat yang ujarnya dapat menghalang perbuatan rogol daripada berlaku. Walhal, jenayah rogol ini lebih rumit daripada yang disangkakan. Tidak dinafikan bahawa tatacara pemakaian umat Islam mungkin mempengaruhi perogol itu sendiri. Namun begitu, bukan semua kes rogol berlaku kepada mereka yang berpakaian menjolok mata dan bukan semua manusia terikat dengan adab berpakaian umat Islam. Perkara sebegini yang menimbulkan debat hangat di media-media sosial dan masih belum menemui penyelesaian yang konklusif. Maka, masakan pendidikan dapat menyediakan penyelesaian yang konklusif jika masyarakat juga tidak sehaluan dalam perkara sebegini. Ini belum cerita lagi tentang persoalan-persoalan peribadi yang berbangkit tentang aktiviti seksual (fetishes, masturbasi dan lain-lain) yang sangat taboo dalam masyarakat. Isu sensitif ini lebih berat lagi apabila kita melibatkan isu LGBT+ dalam perbincangan. LGBT+ juga merupakan antara isu yang perlu dibereskan dalam pendidikan seksual. Namun seperti isu sebelum ini masyarakat masih saling bercanggah berkenaan hak dan pengiktirafan golongan LGBT+. Tidak dinafikan majoriti masyarakat Malaysia menolak amalan LGBT+ ini. Namun tentangan mahupun penerimaannya dalam kalangan masyarakat Malaysia sangat luas spektrumnya. Ada yang menentang keras LGBT+ kerana bercanggah dengan hukum alam dan agama. Ada yang percaya mereka tidak seharusnya didiskriminasi atas pilihan mereka. Ada juga yang percaya LGBT+ ini bukan pilihan maka hak dan perlindungan adalah wajar kepada mereka. Kepelbagaian pendapat yang tidak berjaya menemui titik persefahaman inilah menyebabkan pendidikan seksual yang komprehensif ini sukar untuk dilaksanakan di Malaysia.



Di masa akan datang seiring dengan perkembangan manusia lebih banyak lagi isu berkaitan seksualiti akan timbul. Maka adalah penting bagi kita untuk mempersiap siagakan masyarakat dalam menghadapi cabaran yang lebih pelbagai dalam isu seksualiti dan reproduktif. Misalnya, wujud isu seperti cadangan bagi tandas bebas gender di negara asing bagi menangani diskriminasi terhadap transgender dan non-binary gender. Di Malaysia sendiri kita punyai dilema dalam merawat mereka yang mengalami gender dysphoria (kecelaruan gender), sama ada untuk membenarkan mereka menukar jantina yang ternyata yang tidak diiktiraf undang-undang Malaysia atau menyediakan khidmat bimbingan yang kurang berkesan kepada mereka. Selari dengan kesedaran kesihatan mental yang meningkat, masyarakat juga semakin sedar akan kewujudan gender dysphoria yang memerlukan suatu langkah efektif bagi membantu mereka. Isu-isu ini timbul selari dengan perkembangan sains tulen dan sains sosial. Maka, pendidikan seksual penting bagi menanam suatu prinsip dan kaedah tetap menangani pelbagai cabaran dalam isu seksualiti dan reproduktif di masa akan datang. Pendidikan seksual seharusnya menetapkan suatu disiplin ilmu bagi mengajar masyarakat kaedah membincangkan sesuatu isu itu dengan bijaksana demi kepentingan masyarakat. Sebagaimana kita dapat menyelesaikan isu seperti Pensenyawaan In-Vitro (IVF) secara rukun begitulah kita perlukan bagi menangani pelbagai lagi cabaran di masa akan datang.


Walau bagaimanapun, ada sesetengah pihak melihat bahawa pendidikan semasa sudah mencukupi bagi menangani dan membincangkan isu sebegitu. Prinsip dalam agama dan moraliti masyarakat Malaysia yang sudah terpahat subur sudah mampu menyelesaikan masalah sedemikian. Misalnya dalam isu gender dysphoria di atas, ramai yang percaya agama telah menggariskan larangan jelas akan mengubah apa yang dikurnia oleh tuhan kepadanya seperti jantinanya. Maka tiada isu percanggahan wujud dan kewujudan isu inipun hanyalah suatu unsur memisahkan agama daripada kehidupan seharian manusia. Malah jika suatu konsensus berlainan dicapai berkenan perkara ini yang bukan daripada institusi agama, ia boleh menyebabkan ketegangan dalam masyarakat lantas perkara ini terus menjadi taboo dalam masyarakat. Sedangkan isu ini boleh dibincangkan dengan lebih baik bagi memastikan penyelesaian yang dapat memuaskan semua pihak dicapai.



Akhir sekali, pendidikan ini amatlah penting kerana ia mampu membuka mata masyarakat tentang kepentingan dan keperluan untuk membincangkan isu-isu ini dan bukan sekadar taboo dalam masyarakat. Hal ini demikian kerana, pendidikan seksual yang bersifat komprehensif dengan menyentuh pelbagai isu-isu meruncing menyampaikan mesej kepada masyarakat bahawa perkara ini sememangnya penting untuk dibincangkan sehingga dimasukkan ke dalam sukatan pelajaran dan menormalisasikan masyarakat dengan isu-isu sebegini. Oleh itu masyarakat yang lebih terbuka dapat diwujudkan selari dengan Cabaran kelima dan keenam Wawasan 2020.


Cabaran 5: Mewujudkan masyarakat yang matang, liberal dan bertoleransi.
Cabaran 6: Membina masyarakat yang maju dan saintifik.

Kejayaan rakyat Malaysia dalam menyahut cabaran inilah yang mengorak langkah Malaysia bagi mencapai status negara maju.


Meskipun begitu, ada juga yang berpendapat bahawa masalah semasa bukan salahnya pada pendidikan. Misalnya statistik PDRM mengenai jenayah seksual yang disebutkan tadi tidak mengambil kira ketiadaan undang-undang khas mengenai kesalahan Jenayah Seksual terhadap Kanak-kanak. Akta Jenayah Seksual terhadap Kanak-kanak 2017 yang telah diluluskan sejurus pembongkaran jenayah pedofilia yang menggemparkan Malaysia oleh Richard Huckles, mengariskan hukuman lebih berat kepada pesalah jenayah seksual terhadap kanak-kanak dan penubuhan mahkamah khas bagi kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak. Undang-undang ini dipercayai dapat menjalankan fungsi restoratif (memulihkan dan mendidik) dan retributif (menghukum) yang lebih baik. Malah bagi menangani isu gangguan seksual yang juga semakin meruncing, Rang Undang-undang Anti Gangguan Seksual bakal dibentangkan di Parlimen. Langkah-langkah progresif sebeginilah yang dipercayai lebih berkesan dalam menyelesaikan isu-isu yang disebutkan sebelum ini.



Kesimpulannya, kita tidak lari daripada hakikat bahawa terdapat banyak isu-isu berkaitan seksualiti dan reproduktif yang masih menjadi persoalan di Malaysia. Ruang persoalan yang tidak dijawab inilah menyebabkan percambahan pendapat yang menyukarkan kita untuk mencapai kata sepakat dalam menyelesaikan masalah ini. Oleh sebab itulah, pembikinan sukatan pelajaran Pendidikan Seksual memerlukan perbincangan semua pihak agar penyelesaian konklusif dan konsensus dapat dicapai untuk mendidik masyarakat Malaysia dan supaya pendidikan kita lebih bersifat kalis masa hadapan. Seusai solusi disepakati, semua pihak wajib menjalankan tanggungjawab mereka bagi menyelesaikan masalah ini secara berkesan. Ternyata langkah menuju kesempurnaan itu getir namun berkat kerjasama semua pihak tidak mustahil ia mampu dicapai. Soal undang-undang yang berkesan dalam menyelesaikan masalah ini, bukankah lebih berkesan undang-undang itu jika masyarakat dimaklumkan tentang padah akan sesuatu jenayah tersebut menurut undang-undang? Maka di sini wujud keperluan pendidikan bagi melengkapkan fungsi undang-undang bagi mendidik masyarakat menerusi pengajaran berhikmah. Oleh sebab itulah, pendidikan seksual komprehensif tetap jawapannya. Namun, Malaysia sehingga hari ini masih lagi di persimpangan jalan.


(gambar hiasan)


50 views0 comments
bottom of page