Krisis Anwar-Mahathir, Pilihanraya Perdana Menterilah jawapannya
- Muhammad Aqmar Putra Permata II
- Jun 20, 2020
- 6 min read
Updated: Sep 4, 2022
Selepas tamat desas-desus mengatakan kononnya Pakatan Harapan berjaya meraih bilangan ahli Parlimen yang mencukupi bagi membentuk kerajaan, akhirnya parti komponen PH, DAP dan Amanah mendedahkan bahawa PH kini perlu beralih kepada pelan B iaitu bagi melantik Tun Dr Mahathir semula sebagai PM manakala Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalannya. Hal ini sekaligus menidakkan pendirian parti komponen terbesarnya PKR untuk melantik Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) sebagai Perdana Menteri. Perbalahan antara kedua-dua pemimpin ini seolah-olah tidak akan menjumpai jalan penghujung. Malah keadaan kini bertambah lebih teruk apabila DAP dan Amanah yang ingin menidakkan DSAI melontarkan alasan bahawa DSAI telah gagal dalam meraih jumlah ahli parlimen yang mencukupi bagi menyokong beliau menjadi PM. Hubungan dalam Pakatan Harapan atau lebih dikenali kini sebagai PH Plus (tanpa Bersatu) seakan-akan bakal runtuh susulan perbezaan pendapat antara mereka. Namun begitu, keadaan sebegini bukanlah kali pertama. Jika kita imbau semula episod pertama pertengkaran Anwar-Mahathir pada tahun 1998, pertengkaran ini berakhir dengan Tun M yang ketika itu PM Malaysia memecat DSAI, memenjara beliau atas tuduhan liwat malah menahan semua penyokong DSAI yang terlibat dalam protes Reformasi 1998. Ironinya, mereka yang ditahan dalam protes inilah yang telah membentuk Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang berjuang bagi menegakkan agenda reformasi yang antara lainnya bagi menjulang DSAI sebagai PM.

(Sumber Foto: South China Morning Post)
Daripada itu lahir pakatan pembangkang yang kuat terdiri daripada PAS dan DAP yang bersama-bersama mendukung agneda reformasi buat negara tercinta ini. Episod pertama ini seakan-akan berakhir apabila Pakatan Harapan akhirnya dibentuk pada 2015 dengan kini Tun M menjadi nakhoda perjuangan ini sebelum sekali lagi mengkhianati perjuangan ini pada Februari 2020, 22 bulan selepas berjaya memenangi PRU 14 dan membebaskan DSAI daripada penjara. Kali ini episod ini berakhir dengan duka apabila, DSAI dan Tun M akhirnya diketepikan daripada laluan menjadi PM apabila PN lebih pantas dalam mengambil peluang ini untuk mengembalikan ketidak stabilan politik akibat sengketa antara mereka berdua. Mutakhir ini, episod ketiga baru sahaja bermula. Namun pengakhirannya masih lagi belum pasti.
Pun begitu, dalam segala pertengkaran ini wujud suatu persoalan. Adakah ini tuntutan dan kehendak rakyat ketika mengundi mereka pada PRU 14 yang lalu? Sampai bilakah pertengakaran ini akan berlaku? Dalam jutaan persoalan terhadap isu ini terdapat satu perkara yang jelas iaitu kelemahan Sistem Demokrasi Berparlimen dalam menjamin suara rakyat terhadap pemilihan ketua umum mereka. Selama ini sistem inilah yang membuka ruang kepada tindakan menidakkan kehendak sebenar rakyat terhadap pemilihan ketua umum mereka. Hal ini jelas apabila sistem ini hanya memerlukan konsesi wakil rakyat dalam menentukan ketua bagi kabinet pilihan rakyat ini. Mana-mana pihak yang berjaya meraih sokongan majoriti mudah dalam parlimen boleh sahaja menjadi PM sekaligus membentuk kerajaan mereka sendiri tanpa menghiraukan kehendak sebenar rakyat yang ditafsir pada kertas undi. Kesannya, politikus boleh sahaja memanipulasi konsesi ini bagi membentuk kerajaan pilihan mereka dengan menidakkan janji mereka terhadap rakyat untuk melantik 'inividu tertentu' sebagai PM untuk mengetuai kerajaan pilihan rakyat ini.

(Himpunan Kuasa Rakyat pada 22 Februari lalu yang menuntut agar parlimen dibubarkan tatkala persengketaan Anwar-Mahathir mencapai kemuncaknya)
Dek masalah sebeginilah, hadir suatu cadangan bagi melaksanakan Pilihan raya Perdana Menteri yang dianggap dapat menyelesaikan segala permasalahan ini. Pun begitu, persoalan yang utama sekali bakal diajukan ialah apakah praktikaliti dan mekanisme bagi perlaksanaan idea baharu ini. Penelitian terperinci kepada negara terdapat dua kaedah pilihan raya yang dapat diaplikasikan bagi perlaksanaan Pilihan raya PM ini.
1. Plurality
Melalui kaedah ini, seperti pilihan raya umum, pengundi bakal memangkah calon yang menjadi pilihan mereka untuk menjadi Perdana Menteri. Mana-mana parti tanpa mengambil kira kerjasama politik bebas untuk meletakkan calon mereka untuk merebut jawatan PM. Jumlah undi akan dikira dan mana-mana calon yang mendapat undi terbanyak bakal menjadi Perdana Menteri. Mudah bukan? Namun kaedah ini terdapat pelbagai masalah. Masalah yang paling utama ialah bagaimana ia dilihat bakal bercanggah dengan sistem demokrasi berparlimen yang diamalkan Malaysia selama ini. Keduanya, kaedah ini bakal menyebabkan suatu situasi 'tactical nomination' untuk mengelakkan berlakunya 'spoiler effect'. Disamping itu bakal berlaku juga suatu keadaan 'tactical voting' antara para pengundi. Semua masalah ini akan dibincang sebentar lagi.
2. Single Transferable Vote
Manakala melalui kaedah kedua ini pula, mana-mana parti tanpa mengambil kira kerjasama politik bebas untuk meletakkan calon mereka untuk merebut jawatan PM. Namun kelainannya ialah, pengundi diberi kebebasan untuk merankingkan undi mereka kepada calon-calon PM mengikut citarasa masing-masing. Selesai sesi pengundian, undi pada ranking pertama akan dikira. Calon yang parti mereka gagal dalam meraih kerusi majoriti dalam parlimen akan disingkirkan. Seterusnya undi pada ranking kedua oleh pengundi yang mengundi calon yang disingkirkan akan dipindahkan kepada calon yang masih belum disingkirkan. Selesai proses ini, calon yang mendapat undi majoriti (50% ke atas) akan dilantik menjadi PM. Namun jika masih belum terdapat calon yang mendapat majoriti, calon yang mendapat undi yang terendah antara mereka akan disingkirkan dan pilihan kedua oleh pengundi calon tersebut akan dipindahkan kepada calon yang belum disingkirkan. Jika calon pada pilihan kedua mereka sudah disingkirkan juga, undi kepada calon pilihan ketiga akan dipindahkan kepada calon yang belum tersingkir. Proses ini berterusan sehingga terdapat calon yang meraih undi melepasi benchmark 50% . Calon tersebut bakal diangkat sebagai Perdana Menteri. Namun sistem ini juga tidak kurang juga terpaut dengan masalah 'tactical voting'.

(Suruhanjaya Pilihan Raya - merupakan sebuah suruhanjaya bebas yang mengendalikan pilihan raya di Malaysia)
Maka apakah pula rasional bagi perlaksanaan sistem baharu ini? Dapat dirumuskan bahawa berikutan masalah yang timbul pada hari ini, terdapat dua rasional utama bagi pengenalan sistem baharu ini.
1. Menjunjung semula asas demokrasi
Berikutan kemelut antara kedua-dua figura politik ini, wujud suatu persoalan terbesar. Apakah sebenarnya pandangan rakyat dalam hal ini ? Siapakah sebenarnya Perdana Menteri pilihan rakyat disebalik keputusan PRU 14 ini ? Malang sekali soalan-soalan sebegini tidak akan dapat dijawab melalui sistem semasa. Hal ini kerana sistem pilihan raya semasa hanya memperuntukkan kuasa kepada rakyat untuk memilih wakil bagi kawasan mereka (ahli Parlimen). Keputusan bagi memilih ketua kerajaan pula kini tertakluk kepada wakil rakyat tersebut. Sistem ini memberi liabiliti terus kepada ahli parlimen bagi mewakili pendirian rakyat di kawasan mereka tentang semua hal termasuk tentang pemilihan Perdana Menteri. Akan menjadi tanggungjawab ahli Parlimen tersebutlah bagi memastikan calon PM pilihan rakyat kawasan mereka diangkat menjadi PM. Sistem ini jika diamalkan dengan baik dapat memastikan pendirian rakyat itu terus dipelihara melalui peranan yang baik dimainkan setiap ahli Parlimen dalam mewakili pendirian pengundi mereka. Namun sayangnya, mutakhir ini pendirian rakyat seakan-akan dapat dijual beli. Hal ini demikian kerana dek ketamakan wang dan kuasa seseorang ahli Politik itu sewenang-wenangnya mengetepikan pandangan rakyat untuk menyokong sesetengah individu menjadi PM. Keputusan menyokong ahli Parlimen tertentu menjadi PM dibuat sendiri oleh ahli Parlimen tersebut tanpa mengambil kira pandangan rakyat di kawasan mereka. Natijahnya, suara sebenar rakyat diketepikan sekaligus melunturkan asas demokrasi yang sentiasa ingin menjunjung suara rakyat. Oleh sebab itulah, pilihan raya inilah diharapkan dapat mengiktiraf semula suara rakyat dalam hal pemilihan Perdana Menteri. Melalui kaedah ini, PM akan dipilih terus melalui rakyat dan kuasa pemilihan PM tidak lagi tertakluk kepada ahli Parlimen yang tenyata terdedah kepada ketidak telusan dan korupsi dalam proses ini. Dalam masa yang sama tindakan tidak telus ahli Parlimen melompat parti dan melobi sesama sendiri dengan mengetepikan mandat rakyat dapat dibendung daripada terus berlaku.

(Mungkin sudah tiba masanya hak mutlak ahli Parlimen dalam memilih PM dikembalikan kepada rakyat)
2. Mengekalkan kestabilan politik negara
Jika kita mengimbau semula lipatan sejarah, krisis politik yang terjadi pada Februari lalu bukan kali pertama. Perkara sebegitu pernah berlaku suatu ketika dahulu di Perak. Ketika itu kerajaan Pakatan Rakyat (PR) yang ditubuhkan selepas kemenangan PR di negeri Perak akhirnya dibubarkan pada Februari 2009 apabila beberapa ahli Dewan Undangan Negeri itu melompat parti sekali gus menyebabkan kerajaan PR gagal mendapat sokongan majoriti di Dewan Undangan Negeri tersebut. Ternyata sejarah berulang kembali apabila pada Februari 2020 hingga Mac 2020 berlaku beberapa siri pertukaran kerajaan bermula di peringkat persekutuan sehinggalah ke peringkat negeri. Hal ini menyaksikan kerajaan Pakatan Harapan di peringkat persekutuan, negeri Johor, negeri Perak, negeri Melaka dan negeri Kedah tumbang kepada kerajaan Perikatan Nasional. Keadaan sebegini sedikit sebanyak mampu mengugat kestabilan politik negara yang dapat menjurus kepada ancaman kepada keselamatan negara. Syukur di negara ini sebarang tindakan pertukaran kerajaan tidak pernah mendatangkan retaliasi yang ganas daripada rakyat. Namun perkara ini tidak mustahil. Jika dilihat di negara Thailand, 21 kali rampasan kuasa oleh tentera telah berlaku akibat kegagalan ahli politik mereka dalam menjaga kestabilan politik. Meskipun situasi di Thailand ternyata berbeza kerana di sana sudah tertanam budaya rampasan kuasa namun tetap terdapat persamaannya di Malaysia. Di Malaysia, seandainya politikus terus dengan sifat sebegini dan rakyat sudah mula hilang kepercayaan kepada ahli politik sehingga mengakibatkan kekacauan di merata tempat, perlembagaan secara de jure membenarkan Yang Di-Pertuan Agong menjalankan kuasanya sebagai pemerintah tertinggi Angkatan Tentera Malaysia untuk mengembalikan keselamatan negara sebagaimana yang terjadi ketika Rusuhan Kaum 1969. Mujur ketika kita dilanda krisis politik ini, rakyat Malaysia kekal tenang tanpa sebarang tindakan yang mampu mengancam keamanan negara. Walau bagaimanapun jika perkara sebegini berlaku lagi, kita tidak dapat menjangka apa yang bakal terjadi seterusnya.

(Thailand telah mengalami 21 rampasan kuasa sepanjang sejarahnya)
Pun begitu masih terdapat signifikannya mengapa idea ini tidak pernah diutarakan ke Parlimen bagi tindakan susulan. Mengapa? Perkara ini akan dibincangkan dalam artikel akan datang. Nantikan bahagian 2 perbincangan ini.
Comments