top of page

'Pembangkang' perlu kekal sebagai pembangkang?

Updated: Sep 4, 2022

Bermula dengan Langkah Sheraton pada 23 Februari 2020, politik Malaysia sekali lagi membuka lembaran baharu dalam sejarahnya yang tersendiri. Situasi Gridlock atau ketiadaan kerajaan yang efektif yang selalunya dilihat di negara-negara barat kini menimpa negara. Tatkala itu, terserlahlah keutuhan sistem monarki berperlembagaan yang diamalkan Malaysia. Meskipun begitu, di sebalik segala hikmah dan ibrah yang jelas tersurat dan tersirat dalam krisis politik yang melanda negara ini, wujud suatu tanda tanya, adakah blok pembangkang selama ini yang digelar dengan pelbagai nama (Pakatan Harapan, Pakatan Rakyat, Barisan Alternatif) perlu kekal sebagai pembangkang? Dalam erti kata lain Malaysia masih belum mempunyai sebuah pembangkang yang cukup kukuh untuk menangkis segala cabaran sebagai kerajaan.


Dalam artikel ini kita bakal membincangkan apakah kebenaran disebalik pernyataan berikut dan adakah Malaysia sudah bersedia membentuk sebuah landskap politik yang kompetitif?



Maka, pertama sekali elok kiranya jika kita menilai terlebih dahulu apakah sebenarnya kegagalan Kerajaan Pakatan Harapan pilihan rakyat yang membawa kepada tumbangnya kerajaan tersebut selepas hanya 22 bulan mentadbir negara.


1. Krisis dalaman parti


Tidak dapat dinafikan lagi krisis kepercayaan yang berlaku dalam gabungan 4 parti ini merupakan punca sebenar kejatuhan kerajaan PH. Bermula dengan tekanan hebat yang dikenakan ke atas Tun Dr. Mahathir untuk menyerahkan jawatannya kepada Dato' Seri Anwar Ibrahim oleh ahli-ahli parti terbesar gabungan ini, Parti Keadilan Rakyat (PKR). Lantas, mengheret Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang memiliki 37 kerusi Parlimen untuk keluar daripada Pakatan Harapan. Meskipun masih belum jelas perancangan siapakah yang telah membawa kepada keluarnya PPBM daripada PH namun apa yang dapat dipastikan ialah atas arahan Tan Sri Muhyiddin Yassinlah selaku Presiden parti yang telah membawa kepada keluarnya PPBM daripada PH pada 24 Februari 2020 sekaligus menghapuskan majoriti mudah kerajaan PH untuk membentuk kerajaan. Hal ini sekaligus mengesahkan segala spekulasi media berkenaan kerapuhan muafakat dalaman Pakatan Harapan. Tambahan pula, pendedahan rakaman-rakaman suara bocor Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan 21 Februari 2020 yang pernah disifatkan sebagai mesyuarat majlis presiden terpenting mendedahkan wujudnya 2 blok berbeza dalam kerajaan. Blok pertama terdiri daripada ahli PKR, Amanah dan DAP yang menginginkan peralihan kuasa diberikan sinar baharu iaitu dengan sekurang-kurangnya meletakkan suatu tarikh khas peralihan kuasa dan bukannya sekadar janji untuk melaksanakan perkara sedemikian selepas Asia-Pacific Economic Conference (APEC) yang dijadual berakhir pada November 2020. Satu lagi blok pula yang terdiri daripada beberapa ahli PKR dan seluruh ahli PPBM menjunjung setia keputusan Tun Dr. Mahathir malah bersedia untuk menyokong Tun memerintah sehingga akhir tempoh sepenggal. Pergeseran yang seakan-akan tiada noktahnya ini, akhirnya dinoktahkan apabila ahli PKR yang jelas bercanggah dengan matlamat sulung parti menjadikan DSAI PM ke-8 dipecat, PPBM mengambil keputusan keluar PH dan Tun M meletak jawatan hanya untuk dilantik semula sebagai PM Interim. Dalam mana-mana negara demokrasi sekalipun, kekuatan sesebuah kerajaan itu bergantung kepada keeratan persefahaman antara semua parti komponen kerajaan. Tanpanya, sesebuah kerajaan itu tidak akan efektif dalam meletakkan matlamat mendahulukan rakyat dalam segala hal. Pergelutan kuasa inilah yang bercanggah dengan prinsip sebuah kerajaan yang efektif sekaligus menatijahkan tumbangnya sesebuah kerajaan itu sebagaimana yang berlaku kepada kerajaan Pakatan Harapan.

(Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan 21 Februari 2020)


2. Kegagalan dalam menepis serangan blok pembangkang.


Menurut Perlembagaan Persekutuan Perkara 43 (2)(a) menggariskan kuasa Yang di-Pertuan seperti yang demikian :- Yang di-Pertuan Agong hendaklah terlebih dahulu melantik sebagai Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu. Klausa ini merupakan sebahagian daripada klausa normal yang terdapat dalam perlembagaan setiap negara yang mengamalkan sistem Westminster dalam pentadbirannya. Klausa ini jugalah yang memaparkan betapa penting kepercayaan wakil rakyat yang mendapat mandat rakyat dalam pembentukan sesebuah kerajaan. Tanpa kepercayaan ini sesebuah kerajaan itu akan tumbang secara automatiknya. Oleh sebab itulah, dalam konteks hari ini sangat penting bagi sesebuah kerajaan untuk kekal utuh meskipun pelbagai serangan terhadap mereka. Jika tidak sesebuah kerajaan itu boleh dengan mudah ditumbang melalui dua kaedah selain pilihan raya iaitu melalui undi tidak percaya kepada YAB Perdana Menteri atau kehilangan majoriti mudah dalam Dewan Rakyat seperti yang berlaku kepada kerajaan PH.



(Himpunan Bantah ICERD 2018, himpunan ini merupakan manifestasi ketidakpuas hatian bangsa melayu terhadap polisi kerajaan yang bercanggah dgn status quo bangsa melayu)


Tidak dapat dinafikan lagi, pelbagai isu daripada isu perpaduan sehinggalah isu ekonomi telah memudarkan kepercayaan blok kerajaan serta pembangkang terhadap kepimpinan kabinet yang dilantik Perdana Menteri, serta sekaligus menghakis kepercayaan rakyat terhadap kerajaan sehinggakan pertukaran kerajaan dapat berlaku dengan aman tanpa sebarang rusuhan atau bantahan hebat daripada rakyat. Turning point bagi segala isu ini bermula daripada kegagalan PH dalam menunaikan manifesto pilihan raya mereka. Malah, segala usaha reformasi yang telah dijanjikan mereka dalam PRU yang lalu seakan-akan dibantutkan oleh dakyah pembangkang. Usaha-usaha reformasi ini sememangnya murni namun apabila kerajaan gagal dalam menyampaikan mesej sebenar daripada agenda reformasi ini, agenda-agenda ini dengan mudah dimanipulasi pihak pemangkang untuk menjatuhkan reputasi kerajaan PH. Misalnya, isu berbaur perkauman seperti tulisan jawi, pengikirafan UEC dan peratifikasian ICERD dan Statut Rom dengan mudah dimanipulasi pembangkang bagi menampakkan cela dalam polisi-polisi sebegini yang pada akhirnya membakar semangat kebencian golongan pengundi terbesar, orang Melayu. Isu ekonomi seperti kejatuhan harga minyak sawit, kenaikan harga barang dan pemotongan bajet kerajaan telah membangkitkan rasa tidak puas hati daripada rakyat dan blok pembangkang. Kerajaan PH dilihat gagal dalam membendung kemelut ekonomi yang sedang berlaku kerana terlalu taksub dengan isu seperti peralihan kuasa yang sedikit sebanyak merencatkan ekonomi apabila ia mendatangkan kerisauan terhadap para pelabur. Kesemua isu-isu ini telah dijadikan polemik oleh pihak pembangkang untuk menyerang kerajaan PH di dewan rakyat mahupun media sosial. Natijahnya, semangat kebangsaan melayu semakin membara apabila mereka berasa status quo Melayu di Tanah Melayu ini seakan-akan dicabar oleh pemerintah pilihan mereka dahulu manakala yang bukan Melayu pula berasa tertipu apabila agenda reformasi yang dijanjikan kerajaan PH gagal ditunaikan kerana terlalu fokus terhadap isu picisan seperti peralihan kuasa. Kebolehan pembangkang dalam memanipulasikan isu ini kepada kedua-dua blok pengundi inilah yang mengakibatkan reputasi kerajaan PH jatuh menjunam sekaligus membuka ruang kepada peralihan kuasa kepada kerajaan pimpinan Melayu yang lebih berpengalaman.



(YB Maszlee Malik yang terpaksa meletak jawatan akibat tekanan pelbagai pihak terhadap kementerian pendidikan)


Kesimpulannya, landskap politik Malaysia masih tidak boleh dipisahkan dengan isu kontroversi seperti perkauman. Selama lebih 60 tahun merdeka, majoriti rakyat Malaysia sudah selesa dengan status quo perpaduan negara seperti yang termaktub dalam perlembagaan. Lambakan isu perkauman yang menjadi senjata ampuh untuk menjatuhkan kerajaan PH jelas menunjukkan apapun agenda reformasi oleh blok politik sayap kiri perlu ada batasnya. Usaha bagi menjurangkan batas tersebut di Malaysia pula bukan mudah kerana landskap politik Malaysia yang majoritinya masih berada pada sisi konservatif sangat sukar untuk diubah. Bagi rakyat Malaysia 3 perkara sahaja yang diharapkan. 1. Kerajaan bebas rasuah dan transparen 2. Ekonomi yang terus maju tanpa melupakan nasib golongan miskin 3. Perpaduan negara yang berpaksikan lunas-lunas perlembagaan. Mana-mana ideologi politik yang berjaya dalam menjanjikan ketiga-tiga harapan ini bakal dipilih rakyat. Tidak kisahlah liberal mahupun konservatif namun jika ketiga-tiga aspirasi ini dipegang erat dalam pentadbiran sesebuah kerajaan itu tiada apa yang menghalang mereka untuk terus berkuasa selama lebih 60 tahun sekalipun. Pengajarannya, tidak dinafikan kerajaan PH membawa nafas baharu terhadap politik negara apabila beberapa dasar berideologi libertarian/liberal berjaya diimplementasikan ke dalam negara seperti merendahkan had usia mengundi dan pengisytiharan asset oleh ahli Parlimen namun kegagalan mereka dalam memelihara fundamental politik itu sendiri telah membawa kepada kejatuhan mereka. Bak kata Niccolo Machiavelli dalam karangan agungnya,the Prince


Men judge generally more by the eye than by the hand, for everyone can see and few can feel. Every one sees what you appear to be, few really know what you are.
(Manusia selalunya menilai dengan apa yang mereka lihat daripada apa yang mereka rasa, Semua orang melihat siapa anda, tapi hanya sesetengah sahaja yang mengetahui siapa sebenarnya diri anda)

Kata-kata pemikir politik terkenal ini jelas menggariskan suatu mesej moral terpenting kepada kerajaan PH iaitu, walaubagaimana murni sekalipun hasrat yang cuba dibawa mereka, namun jika imej terhadap orang ramai masih tidak dapat diperbaiki dan dijaga nescaya akan musnahlah kareer politik mereka kerana manusia menghukum sesuatu dengan apa yang mereka lihat berbanding apa yang mereka rasa. Akhirulkalam, iktibar yang perlu diambil oleh PH ialah dalam menjadi kerajaan mereka perlu lebih bersedia dalam mendepani segala tekanan daripada pembangkang dan daripada parti komponen itu sendiri, muafakat harus terus diperkukuh dan rakyat perlu difahamkan dengan jelas tentang dasar dan polisi yang cuba digerakkan oleh jentera kerajaan. Dan buat masa sekarang, ya pembangkang yang dahulu perlu kekal sebagai pembangkang.


Terus perkasakan agenda pemerkasaan belia dengan share dan subscribe page ini.

Terima kasih atas sokongan anda!







110 views0 comments
bottom of page