top of page

Demokrasi bukan lagi di dalam kotak undi #DemokrasiDikorupsi !

9 Mei 2018 merupakan tarikh keramat buat seluruh rakyat Malaysia, lebih 30 juta rakyat Malaysia menyaksikan tumbangnya kerajaan Barisan Nasional yang telah memerintah selama 61 tahun ini. Semua ini berkat kesepakatan rakyat Malaysia dalam melunaskan tanggungjawab untuk menyuarakan pendapat masing-masing melalui kotak undi. Berbekalkan prinsip demokrasi yang masih berdiri teguh di dalam negara ini, hasilnya suara rakyat yang menginginkan perubahan dapat diangkat. Namun, selepas itu nasib demokrasi di Malaysia tidak begitu cerah. Keputusan pilihan raya bersejarah itu seolah-olah diketepikan apabila kerajaan Perikatan Nasional bukan pilihan rakyat mengambil alih tampuk kepimpinan negara selepas seminggu negara mengalami Krisis Politik susulan perletakkan jawatan Tun Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri. Rentetan itu, lahir gerakan yang menyifatkan tindakan ini mengkorupsi demokrasi yang telah terpelihara di bumi Malaysia sehingga tular #DemokrasiDikorupsi di media sosial yang menjadi instrumen warga net bagi meluahkan perasaan hampa terhadap apa yang telah berlaku.




Sebelum itu, elok kiranya jika kita mengenali terlebih dahulu apakah itu demokrasi dan bagaimanakah ia diamalkan di Malaysia. Menurut bapa demokrasi Athens, Cleisthenes dalam karangannya berjudul The Bouletic oath menyatakan demokrasi merupakan suatu bentuk pentadbiran bila mana rakyat diberi kuasa untuk memilih pemerintah mereka mengikut lunas undang-undang. Secara konseptualnya demokrasi mencakupi aspek kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan yang penting bagi menjamin hak rakyat dalam memilih pemimpin. Di Malaysia, demokrasi diamalkan melalui kaedah Demokrasi Berparlimen Ala Westminster. Melalui kaedah ini, rakyat akan memilih calon pilihan mereka yang bertanding atas tiket parti tertentu ketika pilihan raya dan undi akan dibuang ke dalam kotak undi bagi tujuan pengiraan. Undi yang dikira inilah menentukan keabsahan seseorang calon yang bertanding itu sebagai wakil rakyat di Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri. Bagi membentuk sebuah kerajaan yang efektif pula, seorang Perdana Menteri yang dipercayai mendapat sokongan majoriti Dewan akan dilantik bagi mengetuai badan eksekutif yang dibarisi jemaah menteri sebagaimana yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan Perkara 43(2)(a). Dek kerana inilah demokrasi itu dianggap telah dilaksanakan oleh rakyat melalui proses pembuangan undi ke dalam kotak undi itu sendiri yang menjadi simbolisme kepada proses pilihan raya itu sendiri. Meskipun begitu, hakikatnya demokrasi yang diamalkan disini merupakan salah satu bentuk representative democracy, iaitu apabila rakyat memilih wakil yang dipercayai mereka mampu menjunjung aspirasi mereka.




Pun begitu, dek beberapa isu berbangkit dalam senario politik semasa negara, kotak undi atau proses pilihan raya tidak lagi menjadi instrumen dalam demokrasi negara ini. Kelemahan dari segi klausa undang-undang semasa dan sikap politikus khianat telah membawa kepada tanggapan ini. Justeru ayuh kita menelusuri apakah sebenarnya konflik dan krisis undang-undang dan moral yang mengiyakan tanggapan ini.


1 . Tindakan politikus licik yang mengutamakan kepentingan diri sendiri berbanding kepentingan kolektif.


Sudah tidak dapat dinafikan lagi, di sebalik murninya hasrat menginginkan perubahan segera terhadap kepimpinan negara dan negeri, terselindung matlamat peribadi ahli politik yang telah mengakibatkan tercalarnya reputasi demokrasi di negara ini. Secara amnya, mandat yang diberikan rakyat kepada ahli politik perlu dilihat daripada dua sudut. Pertama, rakyat menaruh kepercayaan kepada sosok tubuh karisma seorang pemimpin itu yang dengan harapan dapat mewakili suara mereka di DUN atau Dewan Rakyat. Pemimpin ini haruslah terus menjaga kepentingan penduduk setempat dan menjadikan ia sebagai suatu tanggungjawab dan kepentingan peribadi kepada seluruh pengundi mereka. Yang kedua, rakyat juga menaruh harapan mereka kepada parti yang dipertandingkan oleh pemimpin tersebut yang dengan harapan parti ini dapat menjadi kerajaan lantas melaksanakan manifesto-manifesto yang telah dijanjikan. Pada masa yang sama, pemimpin ini juga perlu sentiasa mendukung dan menyokong segala usaha dan perjuangan parti yang mereka wakili serta menjadikan ia sebagai suatu tanggungjawab dan kepentingan kolektif individu tersebut. Pun begitu, realitinya politikus tidak bermoral mengambil kesempatan ini untuk melompat parti dan memihak kepada gabungan wakil rakyat daripada parti berbeza atas kapasiti diri sendiri sehingga mengendahkan kepentingan dan tanggungjawab mereka secara kolektif di dalam parti asal mereka. Kejadian-kejadian sebeginilah yang sering kali berlaku di Malaysia dan telah banyak mengubah landskap politik negara.


Sebagai contoh, sekitar tahun 1988 negara dikejutkan dengan suatu senario Realpolitik* pertama negara melibatkan parti terbesar orang Melayu, United Malays National Organisation (UMNO) yang telah berpecah kepada team A dan team B. Team B yang diketuai Tengku Razaleigh Hamzah dan mendapat sokongan bekas PM, Tunku Abdul Rahman dan Tun Hussein Onn telah berpecah daripada UMNO dan membentuk parti serpihan UMNO, Semangat 46 selepas Tengku Razaleigh Hamzah gagal dalam memenangi kerusi Presiden UMNO ketika menentang Tun Dr. Mahathir. Semangat 46 ini terdiri daripada ribuan UMNO team B yang telah keluar parti dan membentuk suatu gabungan bersama Gagasan Rakyat dan Angkatan Perpaduan Ummah. Namun beberapa tahun selepas itu, selepas sokongan terhadap mereka mulai merosot parti ini dibubarkan dan ahli-ahlinya ada yang menyertai UMNO semula dan ada juga yang menyertai PAS. Namun persoalannya, tindakan mereka bertukar parti sebanyak 2 kali ini adakah seperti kehendak rakyat yang mengundi mereka? Meskipun secara undang-undang tindakan mereka sah dan mengikut segala lunas undang-undang sedia ada tetapi hal ini tidak pernah menafikan sebarang tindakan mereka ini bercanggah dengan keputusan rakyat yang menyokong individu tersebut atas dasar parti yang diwakili mereka untuk membentuk kerajaan. Ini merupakan suatu contoh yang lompat parti dan pertukaran sisi politik yang tidak mengugat kestabilan politik negara.


(Tengku Razaleigh Hamzah)


Mutakhirnya pada tahun 2020, negara berdepan situasi sama tetapi dalam skala yang lebih besar. Hal ini berlaku selepas PM, Tun M bertindak meletak jawatan sebagai PM dan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU). Manakala, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula mengumumkan Bersatu bukan lagi sebahagian daripada Pakatan Harapan (PH). Perkara ini lantas mengheret negara ke dalam krisis politik 2020 yang berlarutan selama seminggu. Krisis ini berlaku kerana ketiadaan kerajaan yang efektif akibat daripada kehilangan majoriti mudah Pakatan Harapan (112/222 kerusi) di dalam Dewan Rakyat susulan tindakan Bersatu keluar daripada gabungan parti pemerintah Pakatan Harapan (PH) dan pemecatan 10 orang ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang akhirnya membentuk blok bebas di parlimen. Tempoh seminggu ini berlaku kerana kedua-dua blok kerajaan asal dan pembangkang tidak mempunyai sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat untuk membentuk kerajaan. Kemelut ini berakhir apabila, Muafakat Nasional, Blok Muhyiddin Bersatu, bekas ahli PKR dan Gabungan Parti Sarawak menyatakan sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin sebagai Perdana Menteri sekaligus mencukupkan majoriti dewan untuk membentuk sebuah kerajaan. Maka, terbentuklah kerajaan Perikatan Nasional sekaligus menamatkan pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan. Perkara ini mencetuskan kesan domino kepada negeri-negeri lain apabila wakil rakyat di peringkat DUN juga melakukan perkara sama lalu membentuk Kerajaan Perikatan Nasional di peringkat negeri. Kesannya dapat dilihat di negeri-negeri 'swing'** (Johor, Melaka, Kedah, Perak) apabila mereka telah bertukar tangan kepada Perikatan Nasional.


Refleksinya, tindakan wakil-wakil rakyat ini jelas bercanggah dengan kemahuan 48.31 % pengundi yang mengundi calon tersebut atas kapasiti Pakatan Harapan yang dilihat mampu mengubah negara. Calon-calon yang melompat parti ini jelas telah meletakkan kepentingan dan tanggungjawab diri sendiri kepada penduduk mereka melebihi tanggungjawab dan kepentingan mereka secara kolektif kepada parti. Hal ini bercanggah dengan prinsip asas demokrasi di negara ini yang mengangkat padangan rakyat daripada dua sudut, iaitu persepsi ke atas wakil dan persepsi ke atas parti.


2. Kelemahan undang-undang dalam memelihara asas demokrasi ini


Perlembagaan Persekutuan Perkara 43(2)(a) dengan jelas menyatakan Yang di-Pertuan Agong berhak melantik seorang Perdana Menteri daripdada mana-mana ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mempunyai kepercayaan majoriti Dewan untuk mengetuai jemaah menteri. Perlembagaan tidak pernah menggariskan sebarang syarat kepartian bagi seseorang itu untuk dilantik sebagai PM. Perkara ini diadaptasi daripada sistem pentadbiran Westminster yang menjunjung prinsip pengasingan kuasa untuk mengetepikan kepartian di dalam badan eksekutif. Hal ini kerana dalam prinsip pengasingan kuasa, badan eksekutif, badan legislatif dan badan judisiari perlulah bergerak berasingan agar mekanisme semak dan imbang dapat dilakukan. Sebarang politik kepartian seharusnya dielakkan dalam badan eksekutif agar perkhidmatan yang cemerlang dapat disediakan kepada rakyat. Maka, ternyata tiada salahnya untuk klausa ini diwujudkan malah ia sangat penting bagi memastikan mekanisme semak dan imbang antara ketiga-tiga cabang kerajaan dapat dilaksanakan.

(Westminster Abbey, bangunan parlimen United Kingdom)


Pun begitu, keadaan ini mewujudkan suatu peluang bagi politikus untuk mengamalkan politik non-partisan melampau sehingga melupakan mandat sebenar rakyat yang mengundi calon atas kapasiti parti tersebut. Ketika memangkah undi, harapan rakyat cukup mudah iaitu agar pemimpin pilihannya dipilih dan menyumbang kepada pembentukan kerajaan harapannya. Namun sayang ada ahli politik yang memanipulasi mandat rakyat demi kepentingan sendiri dengan melompat parti. Pada dasarnya tindakan ini tidak salah di sisi undang-undang kerana Malaysia masih tidak mempunyai sebarang undang-undang anti-lompat parti. Hanya terdapat satu negeri sahaja yang mempunyai undang-undang sedemikian iaitu negeri Pulau Pinang. Pada November 2012, Enakmen Perlembagaan negeri (Pindaan) 2012 telah digubal di negeri Pulau Pinang yang memperuntukkan supaya mana-mana ADUN Pulau Pinang yang didapati melompat parti dikehendaki untuk mengosongkan kerusi tersebut dan pilihan raya kecil perlu diadakan untuk mengisi kekosongan tersebut. Usaha sebegini seharusnya dicontohi di peringkat persekutuan dan negeri bagi memastikan demokrasi di negara ini terus dapat dipelihara kedudukannya dan yang paling penting agar situasi yang menggugat kestabilan politik negara seperti sebelum ini tidak berulang lagi.


Meskipun begitu, masih terdapat tentangan terhadap penggubalan undang-undang ini oleh sesetengah pihak. Bantahan ini adalah atas asas merujuk kepada kes Nordin Salleh v Dewan Undangan Negeri Kelantan [1992]. Dalam kes ini 1CLJ 463 (Hakim Mahkamah Persekutuan) telah memutuskan bahawa undang-undang yang mewajibkan seseorang anggota dewan yang bertukar parti untuk mengosongkan kerusi bercanggah dengan prinsip kebebasan untuk seseorang itu berpersatuan seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 10 (1) (c) Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Di dalam kes Nordin Salleh ianya berlaku ekoran tindakan kerajaan Kelantan, dan diikuti kerajaan Sabah, ketika itu mengubal undang-undang anti-lompat pari bagi mengelakkan wakil rakyat bertukar parti. Namun begitu, masih bukan sesuatu yang janggal bagi Mahkamah termasuk Mahkamah Persekutuan untuk mengkaji semula keputusan mereka. Misalnya, dalam kes Adorna Properties lwn Boonsom Boonyanit, di mana keputusan Mahkamah Persekutuan pada tahun 2000 telah dikaji semula oleh Mahkamah yang sama pada tahun 2010. Maka tidak hairanlah jika pengkajian semula ini wajar dilakukan, melihatkan kepada situasi semasa yang telah berlaku serta lambakan bukti untuk menyokong asas ini. Misalnya dalam Perkara 10(2)(a) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Parlimen boleh melalui undang-undang mengenakan apa-apa sekatan didapati perlu atau suai untuk kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, hubungan baik dengan negara lain, ketenteraman awam atau prinsip moral dan sekatan bertujuan melindungi keistimewaan Parlimen; mana-mana DUN atau untuk membuat peruntukan menentang penghinaan mahkamah, fitnah, atau pengapian apa-apa kesalahan. Maka di akhirnya, terpulanglah kepada Mahkamah Persekutuan untuk menilai bukti-bukti ini sebagai asas yang kukuh bagi mengubah semula keputusan terdahulu agar dapat membuka ruang kepada undang-undang ini digubal.


Akibat kelemahan-kelemahan inilah, bermula dengan Krisis Perlembagaan negeri Perak 2008, tindakan-tindakan mengubah senario politik negara melalui kaedah lompat parti sudah berani dilakukan oleh ahli politik.

(Bangunan DUN Perak, bangunan inilah yang menyaksikan dua episod krisis politik di negeri tersebut)


Kesimpulannya, dalam apapun keadaan negara perlu menyedari akan bahaya dan natijahnya atas keputusan untuk melompat parti. Kadangkala, keputusan ini bukan suatu pilihan tetapi suatu keperluan demi mengubah negara ke arah yang lebih baik. Rakyat juga perlu untuk memahami sebaiknya akan risiko atas setiap undian yang mereka lakukan. Ketika pilihan raya kelak, rakyatlah yang harus menilai kredibiliti seseorang itu. Mampukah beliau amanah dengan kepercayaan yang diberikan rakyat? atau adakah beliau mampu dalam menjalankan hasrat dan keinginan sebenar rakyat? Hakikatnya demokrasi itu masih tertakluk pada kertas undi kerana secara fundamentalnya, rakyatlah yang memilih calon tersebut dan sebarang tindak tanduk wakil rakyat tersebut adalah atas risiko pengundi itu sendiri. Hal ini demikian kerana, pada akhirnya persoalan dalam isu lompat parti dan demokrasi ini berbalik kepada satu soalan asas iaitu: adakah Moral atau Objektiviti yang perlu diutamakan? Jika kita menilai dari sudut dan fundamental demokrasi itu sendiri tindakan ini akan dilihat tidak berpaksikan kehendak sebenar rakyat pada kertas undi. Namun jika kita menilai dari sudut objektiviti atau asas keperluan rakyat itu sendiri maka tindakan-tindakan ini wajar agar wakil rakyat akan terus relevan dengan persepsi rakyat. Sebab itu, perlu diingat bahawa politik itu dinamik dan tidak statik maka mengikut pada peredaran masa dan perspektif yang berbeza kita akan menjumpai jawapan yang berbeza. Maka, apa yang perlu kita lakukan sekarang ialah akur kepada keputusan YDPA yang telah melaksanakan tanggungjawabnya mengikut lunas undang-undang dan terus percaya dengan kerajaan semasa agar episod kelam dalam politik malaysia tidak berulang lagi lebih-lebih lagi dalam keadaan pandemik Covid-19 yang belum berpenghujung ini.

(gambar sekadar hiasan)


Teruskan menyokong agenda pemerkasaan belia

Terima kasih atas sokongan anda!


Sumber:

Perlembagaan Persekutuan,

Portal Berita Harian,

Portal Astro Awani.


37 views0 comments
bottom of page